SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS11 | Perak FC 0-4 Selangor FC | Kemenangan Dalam Pertembungan 'El Clasico Malaya'

May 21, 2023 - FAS

Selangor FC membawa pulang tiga mata penuh dalam aksi Liga Super 2023 menentang The Bos Gaurus di Stadium Perak, Ipoh semalam dengan keputusan perlawanan 4-0. 

Empat jaringan gol Selangor FC bermula dengan Ayron Del Valle, penyerang Gergasi Merah yang jaringkan gol  daripada sepakan percuma pada minit ke-40 perlawanan. Kemudian, Faisal Halim menjaring gol kedua pada minit ke-45 sebelum tamat separuh masa pertama. Dua jaringan seterusnya dijaringkan dalam separuh masa kedua, dimana Mukhairi Ajmal meledak masuk jaringan luar kotak pada minit ke-51 dan Ayron Del Valle menjaringkan gol keduanya dalam aksi #PRKSEL pada minit ke-70 perlawanan.

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, puji kesungguhan pemain Gergasi Merah dalam mendapatkan semula momentum positif pasukan.

“Secara keseluruhannya, kita nampak kesungguhan pemain dan ini adalah satu tindakan yang amat penting kerana kita tinggalan mata dalam perlawanan sebelum ini, jadi kemenangan ini sangat diperlukan untuk kita terus berada dalam kedudukan terbaik.

Fokus yang diberikan oleh pemain-pemain sangat memberangsangkan dan mereka perlu terus fokus dalam setiap perlawanan bagi mendapatkan mata untuk Selangor,” ujar Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #PRKSEL semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Ayron Del Valle terus membuktikan kebolehannya

Penyerang dari Columbia Selangor FC ini telah menjaringkan dua gol pada minit ke-40 dan ke-70 perlawanan. Keberadaan beliau sering dipersoalkan namun Ayron terus cuba mendapatkan keserasian serta mempamerkan aksi terbaik beliau dari perlawanan ke perlawanan. Secara keseluruhan, Ayron telah menjaringkan sembilan jaringan untuk Selangor FC sekaligus meletakan namanya sebagai penjaring kedua terbanyak liga setakat ini.

Cleansheet kelima Selangor FC

Perlawanan semalam menyaksikan barisan pertahanan penuh komited mematikan serangan daripada pihak lawan begitu juga Khairulazhan, penjaga gol utama Gergasi Merah yang telah memastikan tiada sebarang bolos terjadi. Setakat ini, Khairulazhan merekodkan ‘cleansheet’ kelima beliau untuk musim 2023.

Kapten Mukhairi Ajmal dipuji

Menggalas tanggungjawab sebagai Kapten pasukan dalam aksi #PRKSEL nyata membalas kepercayaan kepada barisan jurulatih. Mukhairi telah menjalankan tugasnya dengan baik dan menjaringkan gol ketiga buat Selangor FC daripada luar kotak yang cukup sinonim dengannya. 

Dalam sidang media, ketua jurulatih Selangor sempat memuji pemain muda ini, “Mukhairi mempunyai potensi yang cukup besar untuk masa depan sebagai pemain senior walaupun di usia yang muda. Dalam padang beliau menunjukkan kepimpinan yang amat baik dan tanggungjawab yang dipikul cukup penting untuk pasukan kerana dari segi corak permainan dan keyakinan beliau, kita nampak beliau amat cemerlang. Apa yang penting beliau perlu bekerja keras bagi memastikan beliau berada dalam satu tahap yang lebih baik dari sebelum ini kerana saya yakin beliau boleh pergi jauh dalam kancah bola sepak ini,”.

Norhakim Hassan kembali memberikan sumbangannya

Menjadi hasrat beliau untuk memberi sumbangan kepada pasukan apabila beliau beraksi. Pemain sayap ini telah ‘assist’ jaringan gol minit ke-70 Ayron Del Valle. Hantaran bola beliau tepat ke arah Ayron untuk menanduk masuk menjadikan jaringan terakhir perlawanan pada malam semalam.

Setakat ini, Selangor FC berada di kedudukan tempat kedua saingan Liga Super 2023 dengan 25 mata terkumpul daripada 11 perlawanan (lapan menang, satu seri dan dua kalah).

Pihak pengurusan menghargai kesungguhan pasukan untuk membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan semalam. Teruskan perjuangan, Gergasi Merah! 

Selangor FC juga ingin berterima kasih kepada penyokong yang ‘Away Day’ bersama Gergasi Merah di Stadium Perak, Ipoh semalam. Jumpa di Stadium MBPJ pada hari Rabu (24 Mei) untuk perlawanan Liga Super ke-12 #SELKDA.

Demi Kebanggaan.